KUALA LUMPUR: Empat hari lagi untuk penetapan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya umum ke-13, Datuk Seri Najib Razak mendekati rakyat malam ini dengan manifesto Barisan Nasional (BN), menjanjikan tiada rakyat Malaysia akan diabaikan gabungan sekiranya ia diberi mandat untuk kembali berkuasa.
Acara itu signifikan dalam dua perkara - julung kalinya BN melancarkan manifesto pilihan raya umum sebelum hari penamaan calon, dan keluar daripada kelaziman, dokumen setebal 31 muka surat itu menggariskan pelbagai komitmen, projek dan program.
Dalam Stadium Tertutup Putra di sini yang dipenuhi penyokong BN, Perdana Menteri bercakap mengenai harapan beliau terhadap negara termasuk golongan muda, dengan kehadiran pemimpin parti-parti komponen BN dan negeri yang ditadbir parti gabungan itu.


Dalam usaha mendapatkan mandat daripada rakyat untuk menerajui kerajaan akan datang, Najib turut membentangkan kad laporan kerajaan BN mengenai pencapaian pentadbiran beliau selama empat tahun, meningkatkan lagi kewibawaan terhadap keupayaan beliau untuk menunaikan semua komitmen yang terkandung dalam manifesto itu.

Pagi ini, beliau berada di Kuantan untuk melancarkan Hari Terbuka Angkatan Tentera di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, di mana beliau menyelar parti pembangkang yang memperlekehkan pengorbanan anggota tentera dan polis yang berjuang untuk membanteras kumpulan militan di Lahad Datu, Sabah.

Beliau menegaskan keselamatan negara adalah tunjang kepada kejayaan agenda transformasi negara.

Pada masa sama, timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini meninjau keadaan di kawasan Parlimen Lembah Pantai yang dikuasai pembangkang dan melahirkan keyakinan BN mampu merampas semula kerusi itu.
Beliau juga meminta rakyat membandingkan manifesto BN dengan manifesto pembangkang.

"Manifesto BN ini satu perjanjian antara BN dengan rakyat yang akan membawa lebih banyak kebahagiaan, nikmat pembangunan dan kemajuan, lebih-lebih lagi tempoh lima tahun akan datang begitu penting untuk kita capai fasa negara maju," katanya.

Muhyiddin berkata rakyat perlu memberikan mandat kepada BN untuk memastikan kesinambungan agenda transformasi negara.

Tatkala tumpuan diberikan terhadap kerusi Parlimen Gelang Patah di Johor yang akan ditandingi pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, diuar-uarkan sebagai calon BN di situ, berkata Najib yang akan membuat keputusan.

Di Kuching, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tunjang BN negeri, bakal meletakkan seorang calon wanita dan pada masa sama akan mengekalkan sebahagian penyandang kerusi Parlimen.

"Semuanya sudah siap...tiada masalah kecuali menunggu perdana menteri mengumumkan (senarai calon)...hanya terdapat seorang muka baharu, seorang wanita," kata Tan Sri Abdul Taib Mahmud, pengerusi BN Sarawak dan presiden PBB.

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen, paling banyak di antara negeri-negeri. Dewan Rakyat mempunyai 222 anggota.

Dalam pilihan raya umum 2008, BN memenangi 30 daripada 31 kerusi di Sarawak dengan PBB menguasai 14 kerusi. BN negeri bertanding pada kali ini dengan 28 kerusi selepas kalah di kerusi Parlimen Sibu dalam pilihan raya kecil manakala seorang lagi bertukar menjadi anggota Parlimen Bebas tetapi kekal menyokong BN.

Sarawak hanya mengadakan pilihan raya Parlimen berikutan pilihan raya negeri telah diadakan pada April 2011.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata badan itu telah melantik 17 badan bukan kerajaan sebagai pemerhati dan mereka akan mempunyai kira-kira 1,000 sukarela yang akan bertugas di pusat-pusat pengundian. - BERNAMA