Monday, May 13, 2013

Suami Berpolitik Isteri Beramal-kebajikan

Isteri kepada wakil rakyat turut mengambil peluang untuk mendidik dan membentuk generasi Malaysia yang cemerlang.  Ini disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan SABATI yang komited untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam SPM 2013 ini.

Ini bagi menyediakan mereka untuk berdaya saing dengan sihat apabila melangkah kaki ke menara gading.

SABATI komited melahirkan pelajar cemerlang

Utusan Borneo 12 Mei 2013, Ahad

ASAJAYA: Badan Amal Tenaga Isteri-isteri Sarawak (SABATI) terus komited dalam melahir dan membangunkan pelajar cemerlang di negeri ini apabila menganjurkan Kem Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara bersiri sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan SABATI Datin Amar Fatimah Mohd Iskandar berkata, penganjuran kem bersiri itu bagi memberi platform kepada pelajar SPM dalam mempersiapkan diri mereka dari segi fizikal, mental dan emosi sebelum menghadapi ujian tersebut.

“Pada tahun lalu kita memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Samariang dan SMK Santubong dan pada tahun ini kita pilih pelajar dari SMK Asajaya 2 dan SMK Sadong Jaya bagi menjayakan kem kecemerlangan ini.

“Untuk maklumat pelajar, kem ini diadakan sebanyak dua siri dan hari ini siri pertama dan siri kedua pula akan diadakan di SMK Sadong Jaya pada September nanti yang mana kita akan lebih memfokuskan kepada ulang kaji, latihan termasuk kaedah menjawab soalan SPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Kem Kecemerlangan SPM 2013 yang bertemakan ‘Memantapkan Potensi dan Keyakinan Diri Ke Arah Kecemerlangan SPM’ di SMK Asajaya 2 di sini semalam.

Fatimah berkata, kem itu turut dibantu oleh guru yang berpengalaman luas bagi berkongsi pengalaman dan kaedah mempersiapkan diri dari segi fizikal, mental dan emosi untuk menghadapai SPM.

Selain itu, beliau memberitahu selain menganjurkan kem kecemerlangan dalam membantu melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang, guru turut memainkan peranan penting kerana guru yang berkualiti dan komited mampu membentuk anak bangsa yang berjaya.

“Pada masa yang sama, ibu bapa juga memainkan peranan mereka dengan menyediakan tempat dan persekitaran yang kondusif untuk anak mereka belajar.

“Malah, pelajar itu sendiri juga pemain paling penting bagi menentukan kecemerlangan diri sendiri di mana pelajar itu perlu aktif dalam pelajaran,” tambahnya lagi.

Justeru, beliau berharap pelajar memanfaatkan ilmu yang diperolehi dari kem kecemerlangan itu agar dapat membimbing mereka ke arah kecemerlangan dalam SPM kelak.

Kem kecemerlangan itu semalam dihadiri 260 pelajar dari SMK Asajaya dan SMK Sadong Jaya yang bakal menduduki ujian penilaian SPM 2013.

0 comments:

Post a Comment

Pihak kami tidak bertanggungjawab di atas komen yang ditinggalkan di Suara Samarahan

My Blog List

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Free Web Hosting